GASING
Gasing merupakan
sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik.
Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayusejak dahulu lagi. Biasanya
dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara
kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Tali gasing
dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada
tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan
seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan
pergerakan gasing .
Jenis gasing
·
Gasing Cina
Cara bermain
gasing
Kaedah bermain
gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970,
permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah
dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan
sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan
gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat,
menegak dan membela uri gasing.
Melilit tali
Terdapat 2 cara
untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari
kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana
tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing
yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke
dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan
menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia
tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain
sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan
bergantung kepada orang pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan
tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.
Kaedah yang
kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain.
Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain.
Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain
seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak
dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan
menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing.
Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua
tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan
pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan
gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis
bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.
Melilit gasing
Terdapat dua
cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu
kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang
diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat
pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan
yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan
pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja
meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan
kertas kaca. Bagi menghasilkan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan
menyapu kanji di bahagian bahu gasing.
Untuk melilit,
gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia
untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing.
Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah
ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan
seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke
bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa
melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku,
gasing akan borot dan membahayakan semua orang.
Memusing gasing
Terdapat
berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul
akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk
menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara
yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya
terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik
dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang
secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah
tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa
mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan
mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum
dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari
sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut
hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak
rendah dan dekat.
Bagi pusingan
sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat.
Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke
atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras
lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak
sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke
bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak.
Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing
diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.
Memangkah gasing
Memangkah adalah
satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan
hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri
yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan
oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak,
pangkah layang dan pangkah tebang.
Pangkahan
dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian
gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah.
Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan
ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika
menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing
yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.
Pangkah hentak
Untuk melakukan pangkah
hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas
kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke
arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah.
Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai
sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab
itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang
sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper.
Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.
Pangkah layang
Kedudukan tubuh
pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan
memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat,
cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan
terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah
bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.
Pangkah tebang
Pangkahan ini
bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan
pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah
mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak
dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini
ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya
yang berat dan pepat.
Mengangkat gasing
Setelah gasing
dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai
untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing
memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing
diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan
kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan
terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan
diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan
badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan
tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat.
Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak
kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang
digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak
akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.
0 ulasan