GULI
Guli adalah
sejenis bola kecil yang biasanya diperbuat dari kaca, tanah liat atau akik. Ia
biasanya dimainkan oleh kanak-kanak. Guli juga
boleh digunakan dalam sesetengah permainan lain, contohnya congkak. Ramai juga yang mengumpul
guli, sama ada untuk nostalgia atau warna estetiknya.
Permainan
Permainan guli
biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya
dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun.
Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.
Kawasan tanah
rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji
guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat
daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.
Gelanggang
Satu bulatan
dilukiskan di atas tanah berukuran garis pusat 1 m. Di tengah-tengah bulatan
tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10 cm lebar dan sedalam 7 cm dengan
menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ke tanah. Lubang tersebut dinamakan
lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3 m daripada garisan besar
tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.
Cara bermain
Untuk memulakan
permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang
induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira
sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli
kedua hampir dan seterusnya.
Pemain pertama
akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan
agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain
kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya
sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.
Pemain boleh
melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli
miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli
miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan
dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.
Setiap
pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran
dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu
sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang
induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan mata
berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua
pemain selesai giliran.
Dua cara dendaan
akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang
kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan
memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik
sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.
0 ulasan